Thursday, October 16, 2008

Satu, Dua, Tiga, Lekuk..

Agak lama saya tidak menghantar posting yang baru di blog ini. Bukan sedikit perkara yang telah berlaku sejak dari tarikh posting yang terdahulu. Pelbagai peristiwa penting dan hangat silih berganti memenuhi ruang media massa mahupun media alternatif. Sehinggakan jika ditulis satu persatu, hanya akan memeningkan kepala kita sebagai rakyat biasa. Berita positif atau negatif tersebut , bukan sahaja mengenai Parti BN/UMNO yang sedang memerintah tetapi buat pihak Pakatan Rakyat yang sentiasa mendakwa cukup tambahan kerusi Parlimen untuk mengambil alih Kerajaan atau mungkin saja untuk hanya mempermainkan Pak Lah sahaja.

Saya terpanggil untuk menulis semula kerana pada posting berkaitan Pihanraya (PRU) umum Mac yang lalu, saya ada mengatakan bahawa agenda utama orang Melayu di dalam UMNO itu sendiri adalah berkaitan dengan Pemilihan UMNO samada ianya di peringkat Cawangan, Bahagian mahupun Pusat. Di sini sebenarnya tumpuan dan fokus mereka semasa PRU 12 itu sedang berlangsung, yang akhirnya, hampir menyebabkan Kerajaan UMNO/BN ditendang keluar dari Putrajaya.

Seperti yang kita ketahui, pemilihan UMNO peringkat Cawangan telah pun selesai diadakan. Perjuangan mereka kini diteruskan pula di peringkat Bahagian dan kemuncaknya nanti pastilah pada pemilihan kepimpinan tertinggi UMNO di Perhimpuan Agung (bulan Mac 2009). Antara kebanyakkan sebab penyandang Ketua UMNO Bahagian telah dicabar adalah berkisar kepada ketidakpuasan hati AJK UMNO di Bahagian-Bahagian terbabit mengenai jumlah sebenar penerimaan peruntukkan kewangan PRU 12 kepada mereka. Dalam bahasa mudah, sejumlah besar duit telah disapu a.k.a disonglap!

Ada yang bertanding kerana mahukan kepimpinan yang baru dan segar akibat kelesuan prestasi di dalam PRU 12 yang lalu. Ada yang bertanding kerana telah tidak terpilih menjadi calon di dalam PRU 12. Ada yang bertanding kerana ‘Dendam Tak Sudah’..dan ada juga yang bertanding kerana mereka adalah pengamal prinsip Demokrasi, ‘Demokrasi Sekerat’.

Setakat ini Najib kelihatan tidak dicabar sebagai Presiden walaupun ada usaha untuk mencalonkan Tengku Razaleigh. Bagi jawatan Timbalan Presiden, Muhyiddin mendahului Ali Rustam & Muhammad Taib setelah Zahid Hamidi menarik diri. Bak kata Tun Mahathir sebelum ini, ramai ‘Pak Lawak’ sebenarnya apabila ada calon-calon jawatan Timbalan Presiden mengatakan mereka juga layak ataupun mahukan Parti mengamalkan kelainan yang mendadak. Untuk Naib Presiden, calonnya adalah Hishamuddin, Khaled Nordin, Rais Yatim, Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Syed Hamid, Isa Samad dan lain-lain.

Bagi jawatan Ketua Sayap UMNO, Rafidah dicalonkan disamping Shahrizat apabila ada UMNO Bahagian merasakan Rafidah patut turun sekali sebagai Ketua Wanita samada sebelum atau semasa Pak Lah akan berundur. Jika Shahrizat memang tidak sanggup menentang Rafidah, Azalina dijangka akan menjadi pencabar terkuatnya bagi jawatan Naib Ketua. Jawatan Ketua Pemuda yang baru lebih dilihat antara Khairy (proksi Pak Lah) akan menentang Mukhriz (proksi Tun Mahathir) selain Khir Toyo pula tampil sebagai calon swasta. Manakala bagi Jawatan Ketua Puteri, calonnya adalah Rosnah Shirlin, Shahaniza, Ismalina, Bibi Sherliza dan Azlina Mehtab. Khabar yang didengar dari kebanyakkan Perwakilan Puteri, mereka semua ini hanyalah biasa-biasa sahaja dan tidaklah sehebat mana pun untuk layak menjadi pemimpin pelapis yang berkaliber. Mereka terpaksa mencalonkan juga kerana itu saja muka yang ada.

Di sini saya tidak berminat untuk mengulas akan kehebatan/kegagalan mana-mana calon yang telah berjaya meraih jumlah pencalonan yang banyak/sedikit kerana pengundian sebenar hanya akan bermula pada bulan Mac 2009. Selagi belum keluar keputusan rasminya, iaitu apabila Perwakilan telah selesai melakukan pengundian, sentiasa akan ada kemungkinan calon yang 'ditikam dari belakang', sekatan/sabotaj atau ahli UMNO akar umbi yang akan terpinga-pinga dengan lakonan calon pilihan mereka telah secara tiba-tiba menukar pendirian/prinsip tanpa sedikit pun rasa malu.

Sebagai contoh, apabila sedikit masa dahulu Pak Lah mengatakan beliau akan tetap melakukan 'Peralihan Kuasa' kepada Timbalannya iaitu Najib pada tahun 2010, maka sekonyong-konyonglah pemimpin UMNO di dalam Majlis Tertinggi mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tetap akan berdiri teguh dibelakang keputusan Pak Lah. Tidak cukup dengan itu, mereka ini telah sibuk melaungkan disana-sini meminta dan meyakinkan rakyat semua bahawa itu adalah keputusan yang terbaik dan sangat tepat dari seorang pemimpin yang telah mengilhamkan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Pak Lah telah terpegun serta sangat terpesona melihat reaksi mereka ini sehingga berasakan bahawa maklumat-maklumat yang mengatakan rakyat sudah tidak mahukan beliau lagi menjadi Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia, adalah dusta dan rekaan palsu semata-mata.

Apabila yakin bahawa orang Melayu ini mudah untuk lupa, tidak semena-mena, nada dan pendirian mereka ini (pemimpin MT UMNO) telah berubah dan mula berkecamuk apabila desakan untuk Pak Lah untuk turun lebih awal semakin kuat bergema dan disuarakan pula oleh Muhyiddin, iaitu, salah seorang daripada Naib Presiden UMNO yang juga Menteri di dalam kabinetnya sendiri secara terbuka di Singapura. Pak Lah yang kelihatan seperti terkejut dan tidak percaya telah melakukan perbincangan yang agak panjang lebar bersama Najib sekali lagi. Akhirnya beliau mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka tetap dengan keputusan ‘Peralihan Kuasa’ akan berjalan seperti yang dirancang dan dipersetujui bersama pada tahun 2010 nanti.

Pak Lah akhirnya bersetuju untuk berundur tetapi Perhimpunan Agung UMNO juga telah ditunda dari Disember 2008 kepada Mac 2009.

Untuk rekod, gelombang Tsunami pertama telah terjadi apabila rakyat bukan Melayu beralih arah semasa PRU 12. Kini, pemimpin MT UMNO sendiri pula mencipta Tsunami kedua demi menjaga survival politik masing-masing. Muka pemimpin MT UMNO ini begitu tebal dengan berkata bahawa Pak Lah telah membuat keputusan yang matang dan Pak Lah telah bertindak dengan berani serta berjiwa besar sebagai seorang Negarawan apabila mengambil keputusan untuk bersara lebih awal.

Maka sekonyong-konyong lagilah pemimpin MT UMNO ini mengeluarkan kenyataan akhbar dengan mengatakan mereka menyokong penuh dan bersetuju dengan keputusan Pak Lah yang terbaru. Kononnya keputusan itu adalah sangat bijak dan terbaik, seolah-olah sungguh mereka tidak terfikir/menyangka sama sekali.

Sebenarnya, Muhyiddin kelihatan sangat tepat dalam membuat percaturan politik dengan menyuarakan hasrat sebenar akar umbi sehinggakan pemimpin MT UMNO yang lain pada mulanya memandang sinis terhadap beliau. Dengan harapan, pemimpin MT UMNO ini akan mendapat pujian dan pengiktirafan oleh Pak Lah sebagai pengikut yang setia dan baik.

Muhyiddin telah mengambil risiko yang sangat besar dan telah dituduh, dicebik serta dikecam oleh pelbagai pihak samada secara berdepan atau belakang-belakang. Muhyidin telah dikatakan sebagai tidak menghormati keputusan pemimpin peringkat tertinggi mahupun MT UMNO itu sendiri. Namun kini, yang pastinya, ramai ahli UMNO akar umbi merasa agak kecewa kerana beliau telah membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi jawatan Presiden UMNO itu sendiri dan cuma menawarkan diri sebagai Naib Presiden sahaja. Dan pastinya juga, Najib bukanlah pilihan yang pertama oleh majoriti rakyat semua untuk menggantikan Pak Lah. Itu adalah hakikatnya.

Berbalik kepada cerita sarkas pemimpin MT UMNO tadi, apabila mereka melihat keadaan menjadi semakin jelas bahawa Muhyiddin akan berjaya di dalam pertarungan hebat ini (setelah mendapat sokongan padu ahli UMNO akar umbi), maka barulah timbul nama-nama pemimpin MT UMNO yang lainnya, yang kononnya, telah turut bersama-sama dengan Muhyidin dalam usaha mendesak Pak Lah untuk memberi laluan kepada kepimpinan yang baru. Terselit mekar harapan di dalam hati pemimpin MT UMNO ini, agar rakyat akan turut menyanjung sama nama-nama mereka seiring dengan diri Muhyiddin sendiri.

Buktinya, pencalonan yang mereka ini perolehi setakat ini, adalah agak tinggi apabila kepimpinan UMNO Bahagian telah terpedaya, lantas mengangkat mereka sebagai pejuang sejati yang berani menentang Pak Lah (yang juga Presiden UMNO itu sendiri) di dalam menegakkan kebenaran dan tidak takut untuk menyuarakan hasrat akar umbi. Tidak malu dan segan langsung untuk menumpang usaha yang dirintis oleh Muhyiddin. Ahli UMNO akar umbi sebenarnya merasa terhibur melihat gelagat mereka kerana ada juga yang secara gelojoh/tiba-tiba, telah meluru kehadapan untuk menawarkan diri mengisi kekosongan jawatan walaupun Pak Lah, Najib dan Muhyidin belum membuat apa-apa keputusan yang rasmi/muktamad. Alasan yang diberi, samada Parti memang mengamalkan demokrasi, telah wujud kekosongan jawatan untuk diisi ataupun telah mendapat desakan atau sokongan ramai ahli UMNO akar umbi.

Inilah kualiti kumpulan pemimpin MT UMNO yang telah dipilih dan dimiliki oleh kita semua sekarang ini. Kumpulan yang selalu bertindak selaku ‘yes man’ dan tukang ‘stamping’ yang tegar bagi Pak Lah dalam membuat keputusan-keputusan penting di dalam Parti UMNO. Mereka inilah antara penyebab yang menjadikan kepimpinan Pak Lah sangat rosak dan hilang punca dalam menguruskan hal Agama, Bangsa dan Negara. Masing-masing berebut menunjukkan sikap taat setia yang membabi buta, yang akhirnya, Pak Lah telah tidak tangisi dan diratapi pemergiannya oleh ahli UMNO akar umbi..cuma yang ada, sedikit simpati.

Wednesday, May 7, 2008

Pakatan Rakyat, Pilihan Rakyat

Selepas Pilihan Raya ke-12 yang berakhir pada bulan Mac 2008 yang lalu, tumpuan rakyat Malaysia khususnya dan dunia amnya, adalah kepada kejayaan di luar dugaan Pakatan Rakyat yang di tunjangi oleh parti PKR, DAP & PAS menafikan majoriti 2/3 Kerajaan pimpinan parti BN dengan penuh ‘bergaya’. Bergaya di sini bermaksud, disamping terus mengekalkan pemerintahan PAS di Kelantan, Pakatan Rakyat juga dapat menawan Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan juga Wilayah Persekutuan.

Malah, Johor juga telah berjaya ditembusi dan Negeri Sembilan cuma mampu dimenangi oleh parti BN dengan hanya majoriti mudah. Sungguh Hebat dan Menakjubkan! Tahniah kepada pimpinan Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang dikatakan begitu bijak membuat keputusan. Dapat kita semua rasakan, akan kepuasan yang tidak terhingga para pengundi apabila melihat mereka meraikan kejayaan ini bersama-sama tanpa mengira kaum, ideologi, pangkat dan kedudukan serta pendidikan. Pasti tidur masing-masing begitu lena walaupun sering dikatakan ‘ Tidur satu bantal, mimpi lain-lain’.

Secara ringkas, jika diimbas keputusan PRU ke-12, Pakatan Rakyat memenangi sejumlah 82 kerusi Parlimen dan 196 kerusi DUN manakala 2 lagi kerusi DUN adalah dari parti BEBAS. BN pula memenangi 140 kerusi Parlimen dan 307 kerusi DUN.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, pucuk pimpinan dan ahli kepada parti di dalam Pakatan Rakyat itu sendiri agak terkejut dengan keputusan yang dicapai kerana tidak menjangkakan peralihan undi dari para pengundi yang begitu besar dan secara drastik pula. Setiap Kerajaan Negeri baru yang berjaya mereka menangi, mempunyai persepsi atau terjemahan yang berbagai. Tidak sukar untuk dinyatakan oleh sesiapa jua yang kita temui di luar sana walaupun mereka itu adalah hanya rakyat biasa yang bukannya lulusan Sains Politik dari mana-mana Universiti pun.

Contohnya, jika Pulau Pinang dikatakan negeri asal pimpinan Perdana Menteri Malaysia sekarang, Kedah pula adalah negeri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yang begitu terkenal dengan pelbagai kejayaan semasa di era pemerintahannya. Selangor adalah negeri yang terkaya, manakala, Wialayah Persekutuan adalah negeri dimana terletaknya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia dan juga tumpuan ramai cerdik pandai serta peneraju kepada pembangunan ekonomi negara. Perak, adalah negeri dimana majoritinya adalah orang Melayu sendiri. Begitu sekali penangan dari Pakatan Rakyat!

Bagaimana pula dengan cerita parti BN yang ditunjangi oleh parti UMNO? Ya, mereka masih lagi memerintah negara walaupun dengan hanya memperolehi majoriti mudah. Untuk bersikap adil, tahniah juga kepada mereka kerana berjaya mengekalkan negeri Terengganu walaupun gagal merampas Kelantan kembali dari pihak pembangkang. Satu saguhati sebenarnya buat mereka yang kelihatan begitu komited menumpukan lebih banyak usaha dan tenaga kepada dua negeri ini kerana amat yakin tiada sebarang masalah di negeri-negeri yang lain untuk mereka bimbangkan. Dan pastinya, bukan sahaja mereka telah berkira-kira sesama sendiri untuk menambahkan lagi jumlah kerusi yang akan dimenangi, malah, ada yang begitu berani melaungkan bahawa mereka akan meningkatkan jumlah majoriti dengan begitu mudah. Maka, perebutan untuk menjadi calon parti BN pun menjadi hangat dan hebat juga. Dari situ, bermulalah episod drama tikam menikam secara terang-terangan untuk tatapan pengundi semua. Tidak kurang juga dengan pujuk rayu agar terus dikekalkan sebagai calon. Akhirnya, bagi mereka yang kecewa atas berbagai sebab, sabotaj adalah jalan penyelesaian mudah yang sungguh menggembirakan hati. Ini juga adalah strategi serampang bermata dua kerana Pemilihan Agung UMNO yang akan datang, pastilah menjadi agenda utama. Sungguh memualkan pengundi semua.

Presiden UMNO telah menang di Parlimen Kepala Batas, manakala tiga pemimpin besar parti komponen mereka yang utama atau parti yang mahu kelihatan utama telah tewas iaitu dari parti MIC, Gerakan dan PPP. Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin juga telah menang dalam penampilan pertamanya di Parlimen Rembau tetapi tidaklah setanding atau sehebat mana jika hendak dibandingkan dengan gandingan anak-beranak terkenal Pakatan Rakyat seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, Karpal Singh dan Gobind Singh Deo, Wan Azizah dan Nurul Izzah. Tidak dilupakan, Mukhriz Mahathir juga telah menang di kerusi Parlimen Jerlun walaupun ayahnya tidak lagi bertanding dan telah dikatakan aktif berpolitik mengikut saluran yang tidak sewajarnya.

Selepas prestasi yang ketara merosot dan menurun pada Pilihan Raya yang lalu, masih tiada lagi pemimpin utama parti komponen BN yang berani meletakkan jawatan serta-merta kecuali sedikit gertakan dari Presiden parti Gerakan. Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau tidak akan lari dari tanggungjawabnya untuk terus memimpin negara seperti yang telah diamanahkan oleh majoriti rakyat. 140 kerusi dari jumlah keseluruhan 222 kerusi pada anggapan beliau bukanlah satu keputusan yang teruk, malah telah dinyatakan sebagai majoriti yang kuat sebenarnya. "Saya masih di sini"... dan beliau menegaskan perlu diberi peluang untuk memulihkan dan mengukuhkan parti semula. Pun begitu, Tun Dr. Mahathir sangat tidak bersetuju dan secara terbuka telah meminta beliau untuk menyerahkan kuasa kepada penggantinya untuk menerajui kepimpinan negara secepat mungkin.

Ahli UMNO khususnya, kelihatan amat bingung dengan segala perubahan yang telah berlaku. Jika tidak dikatakan majoriti, boleh dikatakan sebilangan besar dari mereka. Apatah lagi pemimpin-pemimpin besar UMNO samada diperingkat Pusat, Negeri mahupun Bahagian. Rata-rata mereka seperti tidak mempercayai dengan apa yang telah berlaku. Merasa begitu terpukul sekali sehingga menyebabkan moral mereka jatuh merudum. Sama seperti merudumnya indeks Bursa Malaysia selepas keputusan Pilihan Raya diumumkan. Mereka sebenarnya masih lagi dibuai dengan sejarah kejayaan besar pada PRU ke-11 pada tahun 2004. Lantas, mereka mula memikirkan siapakah yang patut dipersalahkan, mulai berani memberontak secara agresif/terbuka dan ada juga yang mahu bertindak sebagai pejuang parti secara tiba-tiba.

Adat manusia biasa, memang suka kepada yang kuat dan yang menang sahaja. Dan segala macam ‘yang’ lagi. Ditambah pula, perkara ini telah dibudayakan kepada masyarakat umum sejak sekian lama. Telah kelihatan, ada antara mereka mula mempertikaikan berbagai perkara yang timbul dari kepimpinan UMNO. Mereka sudah mula bersetuju, mengiyakan dan turut sama menyebarkan hal-hal yang berkaitan dengan kesalahan/keburukan ahli parti sendiri walaupun kesahihannya boleh dipertikaikan. Tidak lagi peduli dengan saranan dan nasihat dari pemimpin mereka sendiri.

Malah ada antara mereka mula berasa jijik dan malu untuk mengakui bahawa mereka adalah ahli kepada parti UMNO itu sendiri. Di suatu tempat, telah dikhabarkan ada golongan Pemuda Melayu UMNO dengan begitu berani dan tanpa rasa bersalah sedikit pun, telah membakar bendera UMNO/BN secara terbuka apabila BN diisytiharkan tewas mengejut di kawasan pengundian mereka. Inilah antara mentaliti orang Melayu yang tidak kelihatan ketara di pihak Pakatan Rakyat yang akhirnya, menjadikan Pakatan Rakyat kelihatan amat sesuai dijadikan alternatif, lebih berwibawa dan mempunyai ketrampilan yang baik serta terpuji.

Bagi pemimpin besar UMNO semua peringkat, kejutan yang mereka alami berpunca daripada laporan yang tidak benar/separuh benar dari penasihat (yang ada muslihat) atau pekerja bawahan (yes man) mereka yang senantiasa berada di sekeliling mereka siang dan malam untuk mengampu. Budaya supaya sentiasa memberikan laporan yang baik/molek serta tidak menyusahkan hati pemimpin memang telah lama sebati di dalam diri mereka diperingkat bawahan dan yang menariknya, mereka yang berkelakuan seperti ini sering mendapat pujian/pengiktirafan yang tinggi! Ada ganjarannya. Sikit atau banyak, cepat atau lambat sahaja. Aktiviti Cawangan atau Bahagian UMNO, biasanya disertai dan dihadiri oleh orang-orang yang sama sahaja. Tidak secara menyeluruh diperingkat akar umbi. Ini sebenarnya adalah antara isyarat awal bahawa parti UMNO mula ditentang/dijauhi secara diam oleh orang Melayu sendiri.

Tidak perlu dinyatakan antara faktor-faktor yang begitu banyak dikupas oleh pelbagai pihak tentang punca pengundi beralih arah. Tidak cukup sehari semalam jika hendak membincangkannya satu persatu. Pun begitu, kelihatannya, Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin UMNO pelbagai peringkat masih lagi mendapat rumusan/analisis yang tidak/kurang tepat akan punca-punca utama penolakan kerajaan pimpinanya. Sekali lagi, akar umbi tiada pilihan dan harus akur! Walaupun mereka telah mengatakan mesej dari rakyat adalah jelas dan difahami, rakyat masih kelihatan tidak yakin dengan apa yang mereka ini faham. Benarkah mereka ini benar-benar faham?

Jika diabaikan perkara ini, rakyat Malaysia yang dikatakan bodoh atau dungu, mudah terpengaruh, beremosi, dan tidak tahu/faham akan hal cara menguruskan pemerintahan negara, pastilah akan menggunakan kuasa mereka secara total di Pilihan Raya Umum ke-13 nanti! Jangan sampai mereka tercabar dengan lebih dahsyat lagi!!